18 Jun 2026 (Khamis) – Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Tahun 2025 telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Profesor Dato’ Dr. Md Amin bin Md Taff, Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia merangkap Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Pencapaian calon STPM 2025 berdasarkan PNGK Nasional telah meningkat sebanyak 0.03 mata berbanding tahun lepas, iaitu dari 2.85 pada tahun 2024 kepada 2.88 pada tahun 2025. PNGK ini merupakan PNGK tertinggi dan signifikan dari aspek pencapaian calon dengan peningkatan sebanyak 12.06% (0.31 mata) berbanding PNGK 2.57 pada STPM 2013.
Selain itu, seramai 1,336 calon berjaya memperoleh PNGK 4.00, meningkat sebanyak 70 calon berbanding tahun sebelumnya. Pencapaian ini membuktikan komitmen berterusan warga pendidik, calon, serta semua pihak yang terlibat dalam memastikan kecemerlangan pendidikan prauniversiti negara.
Majlis Peperiksaan Malaysia merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua calon STPM 2025 atas pencapaian yang membanggakan dan mendoakan kejayaan berterusan dalam melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
Turut bersama pada sesi tersebut ialah Encik Badrul Hisham bin Abdullah, Ketua Eksekutif MPM, Datuk Dr. Mohd. Azam Ahmad, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM), Dato' Indera Ikmalrudin Bin Ishak, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), KPM, dan seluruh Ahli Majlis MPM.
#MPM #STPM2025 #MenjanaPentaksiranJitu #KeputusanSTPM #PendidikanMalaysia