CaSIM II - Takrif Konstruk

 

Minat kerjaya

Minat kerjaya merupakan kecenderungan seseorang untuk melakukan sesuatu aktiviti atau bidang.  Ketepatan pemilihan kerjaya berdasarkan minat adalah perlu untuk memastikan keseronokan dalam menjalankan tugas serta memberikan perkhidmatan berkualiti. Minat kerjaya dinilai berdasarkan enam skala, iaitu  realistik, investigatif, artistik, sosial, enterprising, dan conventional.

 

Personaliti

Personaliti ialah organisasi dinamis sistem psikofizikal dalam diri individu yang menentukan ciri tingkah laku dan pemikiran. Personaliti individu hendaklah selaras dengan profesion pilihannya. Keselarasan ini perlu kerana ia menentukan tahap motivasi, kepuasan kerja, pencapaian, produktiviti, dan stabiliti seseorang dalam kerjayanya. Personaliti dinilai berdasarkan sebelas skala, iaitu asertif, analitikal, autonomi, ekstrovert, intelektual, ketahanan, kritik diri, kepemimpinan, tolong-menolong, pencapaian, dan kejujuran.

 

Kecerdasan Emosi

Kecerdasan emosi ialah keupayaan untuk mengenal pasti dan mentafsirkan emosi diri sendiri dan orang lain untuk meningkatkan pemikiran yang dapat mempengaruhi cara seseorang bertindak dan berinteraksi dengan persekitaran. Keseimbangan emosi berupaya mempengaruhi prestasi kerja dan mampu meningkatkan produktiviti organisasi. Kecerdasan emosi dinilai berdasarkan empat skala, iaitu ekspresi emosi, kesedaran emosi terhadap orang lain, resilien, dan kecerdasan hubungan.

 

Nilai Integriti

Nilai integriti merangkum nilai murni yang boleh diukur dalam batasan pengetahuan, sikap, dan tingkah laku. Integriti merupakan projeksi profesionalisme individu berkaitan dengan sifat berdisiplin, tekun, bertanggungjawab, optimis, berkepemimpinan, sabar, kreatif, dan inovatif. Nilai integriti dinilai berdasarkan tiga skala, iaitu bersih, amanah, dan bijaksana.

 

Kemahiran Insaniah

Kemahiran insaniah (soft skills) adalah kemahiran yang merentas pelbagai domain merangkum aspek keperibadian dan kerja berkumpulan. Kemahiran insaniah dinilai berdasarkan tujuh skala, iaitu kemahiran berkomunikasi, pemikiran kritis dan menyelesaikan masalah, kemahiran kerja berpasukan, pembelajaran berterusan dan pengurusan maklumat, kemahiran keusahawanan, moral dan etika profesional, dan kemahiran kepemimpinan.

 

Pentafsiran Keputusan

Padanan individu dengan program pengajian atau kerjaya pilihan digambarkan melalui pemerolehan skor pada setiap skala dalam komponen yang dinilai berdasarkan wajaran seperti dalam jadual di bawah.

 

Jadual 2.Padanan individu digambarkan melalui skor peratusan yang diperoleh.

Bahagian

Komponen

Wajaran

CaSIM I

CaSIM II

A

Minat Kerjaya

40%

30%

B

Personaliti

30%

20%

C

Kecerdasan Emosi

15%

15%

D

Nilai Integriti

15%

15%

E

Kemahiran Insaniah

-

20%

 

Rumusan

CaSIM I ialah instrumen psikometrik yang julung kali diperkenalkan untuk memilih calon pelajar ke IPT dan CaSIM II memilih calon penjawat awam dan swasta yang paling menepati ciri-ciri bidang pekerjaan tersebut. Kekuatan instrumen ini menjurus kepada penilaian yang dilakukan terhadap komponen tertentu seperti minat kerjaya, personaliti, kecerdasan emosi, nilai integriti, dan kemahiran insaniah. Di samping kelulusan akademik, kestabilan emosi dan kecekapan memainkan peranan penting dalam menggalas tanggungajwab yang diamanahkan oleh sesebuah organisasi. Keseimbangan komponen ini menjadi satu aset penting dan mandatori dalam mencapai matlamat dan prestasi produktiviti organisasi tersebut. Oleh yang demikian, CaSIM I dan CaSIM II merupakan instrumen yang menjadifaktor penentu dalam mempengaruhi peningkatan produktiviti organisasi.