CaSIM I

Apakah CaSIM I?

Higher Education Selection Inventory (CaSIM I) merupakan satu instrumen psikometrik yang  diguna pakai untuk memilih calon pelajar yang akan melanjutkan pelajaran ke IPT dalam pelbagai program pengajian.

 

Apakah Tujuan CaSIM I?

CaSIM I digunakan bagi memilih calon yang sesuai untuk mengikuti program pengajian yang bersesuaian di IPT selaras dengan minat kerjaya, personaliti, kecerdasan emosi, nilai integriti, dan kemahiran insaniah calon. Dengan itu, instrumen CaSIM I dapat membantu melahirkan modal insan yang berkualiti yang menjadi teras kepada pembangunan negara untuk bersaing di peringkat global.

Instrumen CaSIM I dibangunkan untuk memperoleh maklumat berkaitan dengan kualiti intrinsik individu. Maklumat yang diperoleh daripada pengukuran ini digunakan untuk memilih calon yang sesuai bagi kemasukan ke pelbagai program pengajian yang ditawarkan. Secara khususnya, justifikasi penggunaan instrumen CaSIM I adalah seperti yang berikut:

  1. Membantu IPT mendapatkan calon yang paling sesuai berdasarkan konsep "individu yang betul untuk program yang betul" (the right person for the right programme). Instrumen ini berupaya membezakan calon yang berpotensi untuk berjaya dalam program yang dipilih.
  2. Membantu mengurangkan masalah dalaman yang timbul di IPT seperti masalah ponteng, rendah produktiviti, dan kurang motivasi hasil daripada konflik pemilihan program.

 

Siapakah Yang Boleh Menduduki CaSIM I?

Calon yang ingin melanjutkan pengajian ke IPT (lepasan SPM, STPM, STAM, Matrikulasi, Diploma, dan sijil lain yang diiktiraf oleh kerajaan Malaysia). CaSIM I terbuka kepada semua rakyat Malaysia.

 

Apakah Kriteria Yang Dinilai?

Terdapat empat komponen yang dinilai dalam instrumen CaSIM I dan lima komponen yang dinilai dalam instrumen CASIM II seperti yang dalam jadual berikut.

Jadual 1 : Komponen Bilangan Item Bagi CaSIM I Dan CaSIM II.

Bahagian

Komponen

               Bilangan Item

CaSIM I

CaSIM II

A

Minat Kerjaya

120

60

B

Personaliti

110

110

C

Kecerdasan Emosi

40

40

D

Nilai Integriti

30

30

E

Kemahiran Insaniah

-

70

 

Siapakah Yang Membangunkan CaSIM I dan CaSIM II?

CaSIM dibangunkan oleh pakar perunding yang dilantik oleh Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) yang terdiri daripada sekumpulan pakar bidang psikometrik dari enam Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di seluruh Malaysia yang mempunyai pengalaman dan pengetahuan serta terserlah kehebatan kepakaran mereka dengan terbinanya instrumen MEdSI dan MUnSyI yang sedang diguna pakai oleh KPT dan USM.