Perutusan Tahun Baharu 2015

PERUTUSAN TAHUN BAHARU 2015

Y.BRS. DR. JAMIL BIN ADIMIN

KETUA EKSEKUTIF MAJLIS PEPERIKSAAN MALAYSIA

 

Pembuka kata

Bismillah-ir-Rahman-ir-Rahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera

 

1.     Alhamdulillah, marilah kita bersama-sama merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah izin dan kurnia-Nya, kita masih diberi kesempatan untuk terus berkhidmat pada tahun 2015 ini.  Jadi, Selamat Tahun Baharu saya ucapkan kepada semua calon STPM, guru-guru, ibu bapa, warga dan  penjawat MPM, serta pengunjung portal ini.  

 

2.    Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua warga MPM dan para penjawat MPM serta guru-guru atas komitmen dalam melaksanakan segala tugas yang diamanahkan dan pencapaian cemerlang yang dicatatkan sepanjang tahun 2014.  Saya berharap semoga momentum ini dapat terus dikekalkan dan dipertingkatkan serta dapat memotivasikan kita ke arah transformasi yang lebih cemerlang pada tahun 2015. 

 

3.     Namun, dalam masa yang sama, marilah kita tanyakan diri kita apakah yang telah kita sumbangkan sepanjang tahun 2014, apakah yang mampu kita lakukan untuk menentukan apa yang kita rancangkan, dan apa yang kita impikan mampu tercapai.  Tidak ada istilah sumbangan kecil atau besar, yang ada hanyalah kesanggupan melakukan sesuatu.  MPM memerlukan sokongan, sumbangan tenaga dan idea daripada semua pihak, sama ada secara langsung atau sebaliknya.  Jadi, di sini saya ingin menyeru tuan-tuan dan puan-puan agar marilah kita bersama-sama menjadikan impian kita suatu yang realiti.  Berdirilah kita bersama-sama untuk menentukan kejayaan, bergeraklah dan bekerjalah bersama-sama untuk melakar sebuah masa depan yang terbaik untuk diri, keluarga, masyarakat, organisasi dan negara kita.  Dalam konteks ini, MPM tidak akan mampu memberi perkhidmatan yang terbaik tanpa sokongan dan dokongan padu tuan-tuan dan puan-puan sekalian.  Inshaa Allah, dengan perancangan yang rapi serta teliti, dan pelaksanaan yang berkesan, hari ini akan lebih baik dari hari semalam dan hari esok akan menjanjikan kecemerlangan yang berterusan.

 

Pencapaian MPM Pada Tahun 2014

4.    Saya suka membawa tuan-tuan dan puan-puan mengimbau pencapaian MPM dalam tahun 2014 bukan untuk berbangga dengan kejayaan MPM, tetapi bagi menyuntik semangat dan motivasi bersama ke arah transformasi yang lebih berimpak. 

 

5.    Tahun 2014 merupakan tahun kedua pelaksanaan peperiksaan STPM berdasarkan Sistem Pentaksiran Baharu yang kita lalui dengan penuh warna dan cabaran.  Pelaksanaan sistem pentaksiran baharu ini, mulai peperiksaan STPM 2013, merupakan satu langkah berani MPM sebagai usaha untuk memartabatkan dan metransformasikan sistem pendidikan tingkatan enam.  Dalam hal ini, MPM telah berjaya melaksanakan tanggungjawabnya dalam mengendalikan peperiksaan STPM sepanjang tahun 2014, dengan bilangan calon sebanyak 48,719 orang bagi peperiksaan STPM 2014 dan sebanyak 51,599 orang calon bagi peperiksaan Penggal 1 STPM 2015.    Selain daripada itu, kita juga telah berjaya mengendalikan MUET sebanyak tiga kali dengan bilangan calon sebanyak 180,258 orang.

 

6.    Menyentuh tentang MUET, seperti yang tuan-tuan dan puan-puan sedia maklum, YAB Perdana Menteri dalam Ucapan Bajet 2015 telah mencadangkan untuk menaikkan syarat kelulusan MUET bagi tujuan kemasukan ke IPTA dan bagi tujuan bergraduat, mengikut bidang mulai sesi akademik 2015/2016.  MPM amat menyokong cadangan ini.  Sokongan MPM ini bukan disebabkan oleh faktor kewangan semata-mata, yang boleh meningkatkan pendapatan MPM, tetapi juga disebabkan ia selaras dengan objektif utama MUET diperkenalkan dahulu (tahun 1999), iaitu untuk meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris pelajar supaya mereka dapat berfungsi dengan berkesan terutama dalam hal membuat rujukan dan kajian daripada sumber yang kebanyakkannya ditulis dalam bahasa Inggeris semasa mereka menuntut di IPT. 

 

7.   MPM telah pun mengorak langkah dan mengambil tindakan dengan menubuhkan Jawatankuasa Sukatan Pelajaran MUET untuk menyemak dan mengkaji semula sukatan pelajaran MUET yang sedia ada.  Ini bertujuan agar kualiti dan standard MUET berada pada tahap yang setara dengan Common European Framework of Reference for Languages (CEFR).  MPM juga telah mengadakan ujian Cambridge English di beberapa buah sekolah/institusi bagi mengukur standard MUET.

 

8.    Pada tahun 2014 juga, iaitu pada 16 Disember 2014, MPM telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk melaksana dan mengendalikan ujian Sijil Kecekapan Bahasa Melayu Untuk Warga Asing.  

 

Cabaran Dan Tumpuan 2015

 

9.     Dengan perkembangan ini, saya menjangkakan tahun 2015 akan lebih mencabar untuk MPM.  Pertama, walaupun MPM telah berjaya melaksanakan dan mengendalikan peperiksaan STPM berdasarkan sistem pentaksiran baharu, namun dari segi bilangan calon yang mengambil peperiksaan ini masih tidak memuaskan.  Justeru, pada tahun 2015 ini, pelbagai usaha promosi akan dilaksanakan bagi meningkatkan bilangan calon STPM, dengan sasaran peningkatan sebanyak 10 peratus. Dalam hal ini, saya meletakkan KPI sebanyak 10 peratus ini kepada setiap pegawai MPM untuk dicapai.  Ini cabaran yang saya lontarkan kepada para pegawai dan penjawat MPM untuk sama-sama kita usahakan. 

 

10.    Kedua, dengan pengumuman YAB Perdana Menteri untuk menaikkan syarat kelulusan MUET bagi tujuan kemasukan ke IPTA dan bergraduasi mengikut bidang, maka ini akan menjadi satu tanggungjawab yang berat yang harus MPM laksanakan bagi memastikan agenda nasional dan agenda Kementerian Pendidikan ini tercapai.  Dengan komitmen dan semangat kerja berpasukan yang telah ditunjukkan selama ini, saya yakin tanggungjawab ini dapat kita laksanakan, Inshaa Allah. 

 

11.    Dan, Inshaa Allah, mulai tahun ini juga, MPM akan laksanakan dan kendalikan satu lagi ujian, iaitu ujian Sijil Kecekapan Bahasa Melayu Untuk Warga Asing.  Saya jangkakan ujian pertama yang akan MPM jalankan ialah  pada bulan Julai 2015.  Ini akan menjadi satu lagi penambahan tugas MPM sebagai badan pentaksiran negara.  Dalam konteks ini, para pegawai dan penjawat MPM tidak seharusnya memandang ia sebagai satu tambahan bebanan, tetapi harus berpandangan positif sebagai satu amanah dan kepercayaan kerajaan terhadap kemampuan kita.  Selain daripada itu, MPM akan terus berusaha untuk mencari peluang dan ruang bagi mengembang skop bidang tugas MPM sebagai badan pentaksiran negara, bukan sahaja dalam negara, tetapi juga di luar negara.        

 

Kerja Berpasukan: Satu Harapan

 

12.    Justeru, bagi memastikan MPM dapat terus memikul semua tanggungjawab ini dan terus mencapai perkhidmatan yang cemerlang, kerjasama serta semangat kerja berpasukan dalam kalangan pegawai dan penjawat MPM serta guru-guru Tingkatan Enam perlulah sentiasa ditingkatkan agar semua dapat berkhidmat dengan selesa dan terus berkerjasama di antara satu sama lain.   Saya menyeru kepada semua anggota perkhidmatan dan penjawat MPM serta guru-guru, marilah kita bersama-sama berganding bahu dan merapatkan saf, melangkah ke hadapan, iaitu ke tahun baharu 2015 ini dengan keyakinan tinggi.  Sesungguhnya, kerja berpasukan adalah asas kepada kejayaan dan kecemerlangan.   "One is too small a number to achieve greatness".  Kenyataan ini jelas menunjukkan bahawa kita tidak boleh melakukan sesuatu secara perseorangan untuk membawa perubahan hasil dan impak sebenar yang kita inginkan.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan,

 

13.      Pasukan yang baik saling melengkapi, mempunyai tujuan yang sama, saling bertanggungjawab, mempunyai kerja yang jelas dan spesifik dengan matlamat yang boleh diukur.  Umpama kapal yang berlayar tanpa tujuan, tidak akan sampai ke pelabuhan.  Dalam PASUKAN, tiada perkataan atau istilah "aku". Untuk menjadi organisasi yang berjaya, organisasi tersebut memerlukan anggotanya saling bekerjasama, bantu membantu dalam satu pasukan yang kuat bagi mencapai visi dan misi organisasi.  Pencapaian sesuatu organisasi adalah hasil dari usaha yang bersepadu dari setiap individu di dalam organisasi tersebut sebagai satu pasukan.  Pasukan yang baik akan meningkatkan keupayaan, kemahiran serta motivasi bagi setiap ahli pasukan.  Mengikut Lao Tzu, "ikatan yang mahir akan kekal tertambat tanpa simpulan".

 

14.     MPM sebagai sebuah badan pentaksiran menggalas tanggungjawab besar untuk meningkatkan mutu pendidikan negara, terutama melalui pemerkasaan program prauniversiti.  Untuk melaksanakan tanggungjawab ini, setiap dan semua warga MPM, penjawat MPM, dan guru perlu memainkan peranan masing-masing.  Setiap anggota mempunyai kemahiran dan kepakaran yang boleh menyumbang di dalam meningkatkan mutu pendidikan negara dan pencapaian prestasi pelajar.  Pakar pengurusan yang terkenal, Stephen Covey menyatakan, "Strength lies in differences, not in similarities".

 

15.     Semua usaha ini perlu dijalankan secara bersepadu dan dalam satu pasukan.  Setiap daripada kita perlu berusaha dengan lebih berfokus bagi memastikan keberhasilan dapat dicapai.  Walaupun individu itu merasakan dirinya sangat bagus, namun dia tidak akan menyerlah atau bersinar sekiranya dia tidak boleh bekerja dengan orang lain di dalam sesuatu pasukan.  Pepatah Melayu ada menyatakan,  "Ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni, ke laut sama direnangi" dan "Dapat sama laba, cicir sama rugi" yang menunjukkan semangat berpasukan yang tinggi menuntut kita saling bantu membantu di antara satu sama lain.  Saya mahu melihat semua warga MPM, penjawat MPM, dan guru khususnya guru Tingkatan Enam, sama-sama bekerja dalam satu pasukan bagi menjayakan transformasi pendidikan Tingkatan Enam dan STPM.   

 

16.    Oleh yang demikian, jika setiap individu dapat menerapkan nilai-nilai kerja berpasukan, semangat bekerjasama dan bersepakat, saya percaya sesuatu kerja atau projek yang dilaksanakan nescaya akan membuahkan kejayaan.  Kesepakatan akan membawa berkat. 

 

Penutup

 

17.    Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya sekali lagi ingin menyatakan rasa puas hati saya di atas segala komitmen yang telah para pegawai dan penjawat MPM serta guru berikan dalam memastikan kejayaan pelaksanaan program dan aktivti MPM sepanjang tahun 2014.  Namun demikian, saya juga sekali lagi ingin mengingatkan kepada semua warga MPM dan penjawat MPM agar kita sentiasa berusaha melakukan penambahbaikan dan perlu berubah kepada yang labih baik.  Tidak seperti bidang lain, peperiksaan adalah bersifat zero defect.  Sehubungan dengan itu, marilah kita bersama-sama melipatganda usaha dan meningkatkan integriti masing-masing demi maruah jabatan, negara, dan jati diri kita.  Diharapkan semua warga MPM dan penjawat MPM serta para guru dapat memperlihatkan satu usaha dan daya saing yang tinggi serta boleh memberikan komitmen yang berterusan demi mengalas tanggungjawab pada tahun 2015 dan tahun-tahun yang mendatang.  Saya yakin dengan iltizam yang kuat dan kerjasama semua pihak serta niat yang ikhlas, Inshaa Allah usaha kita akan diberkati, dan Inshaa Allah kita boleh mencapai aspirasi kita.  Akhir kata, sekali lagi saya mengambil kesempatan di sini mengucapkan "Selamat Menyambut Tahun Baharu 2015" kepada semua calon STPM, guru-guru, ibu bapa, warga dan  penjawat MPM.  Semoga kita akan terus diberikan kekuatan untuk melaksanakan amanah dengan penuh iltizam dan bijaksana.

Sekian.

Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarokatuh.