Pengenalan Kepada MUnSyI

Ketidakselarasan antara personaliti, minat dan pekerjaan memberi kesan kepada kerjaya dan seterusnya kesejahteraan individu. Tekanan yang wujud akibat ketidakselarasan ini boleh dimanifestasikan melalui pengambilan cuti sakit yang berlebihan, ponteng kerja, kurang komitmen, dan sebagainya (Carmeli & Gefan, 2004). Menurut Holland (1998), keselarasan antara personaliti dan minat dengan kerjaya adalah penentu kepada motivasi, kepuasan kerja, pencapaian, produktiviti dan stabiliti dalam kerjaya. Penentuan "individu yang betul untuk kerjaya yang betul" perlu diberi perhatian sewajarnya dalam pemilihan calon pelajar (Parson, 1908 dalam Sidek Mohd Noah, 2005).  Ujian psikometrik yang dikenali sebagai Malaysian Educators Selection Inventory  (MEdSI) adalah hasil inisiatif daripada cadangan Majlis Dekan-Dekan Fakulti Pendidikan IPTA. Langkah ini diambil untuk melahirkan pendidik yang kompeten. Kohort pertama calon guru yang diambil melalui ujian MEdSI adalah pada semester pertama sesi 2007/2008. Pemerhatian awal terhadap kualiti kumpulan pelajar ini sangat memberangsangkan berbanding kohort sebelumnya (Abdul Malek et al., 2008; Joharry et al., 2008).

 

Di luar negara, masalah keselarasan antara individu dengan bidang pengajian yang dipohon diselesaikan melalui penggunaan teknik psikometrik. Misalnya ujian Vocational Preference Inventory (VPI), Self-Directed Search (SDS), dan Strong-Campbell Interest Inventory (SCII) telah digunakan secara meluas dalam proses pengambilan staf dan pelajar di Amerika Syarikat. Ujian-ujian ini menggunakan konsep Person-Environment Fit (P-E Fit) iaitu satu konsep penyelarasan antara ciri individu dengan persekitaran. 

 

Instrumen yang sedia ada umumnya dibangunkan di negara barat yang mana latar belakang budayanya begitu berbeza dengan budaya Malaysia.  Perbezaan budaya ini menuntut pembangunan instrumen yang berasaskan kepada nilai dan budaya tempatan. Justeru satu set instrumen yang dikenali sebagai Malaysian University Selection Inventory (MUnSyI) yang dibangunkan berasaskan konsep Person-Program Fit™(P-P Fit™).

 

 Asas pembinaan MUnSyI adalah berdasarkan kepada parameter penting kriteria pemilihan calon pelajar iaitu minat kerjaya, personaliti, nilai integriti, kecerdasan emosi dan patriotisme. Pemilihan parameter ini adalah berasaskan kepada tuntutan kemahiran insaniah selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) dan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP).  Instrumen ini telah dibangunkan oleh pakar perunding Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) yang terdiri daripada sekumpulan pakar dari sebelas Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

 

Format MUnSyI

 

Instrument MUnSYI mengandungi lima bahagian dengan 330 item. Bahagian A mengenai Minat Kerjaya; Bahagian B mengenai Personaliti; Bahagian C mengenai Nilai Integriti; Bahagian D mengenai Kecerdasan Emosi; dan Bahagian E mengenai Patiortisme.

 

Tujuan MUnSyI

 

Instrumen MUnSyI dibangunkan untuk memperoleh maklumat berkaitan kualiti intrinsik calon meliputi Minat Kerjaya, Personaliti, Nilai Integriti, Kecerdasan Emosi dan Patriotisme sebagai tambahan kepada maklumat sedia ada calon. Maklumat yang diperoleh daripada pengukuran ini digunakan untuk memilih calon yang sesuai bagi kemasukan ke pelbagai program pengajian yang ditawarkan oleh universiti di Malaysia. 

 

Secara khususnya, justifikasi penggunaan instrumen MUnSyI adalah seperti berikut:

  1. Membantu calon pelajar memilih program yang paling sesuai dengan dirinya.
  2. Membantu universiti mendapatkan calon pelajar yang paling sesuai berdasarkan konsep "individu yang betul untuk program yang betul".  Instrumen ini berupaya membezakan calon pelajar yang berpotensi untuk berjaya dalam bidang yang diikutinya. 
  3. Pemilihan calon pelajar tidak tertumpu kepada pencapaian akademik semata-mata, tetapi mengambil kira aspek minat kerjaya, personaliti, nilai integriti, kecerdasan emosi dan patriotisme sejajar dengan tuntutan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. 
  4. Membantu mengurangkan masalah dalaman yang timbul di universiti hasil daripada konflik pemilihan program yang berbangkit semasa pengajian seperti bertukar program, prestasi yang rendah, keciciran dan kecelaruan emosi.
  5. Antara kriteria ranking universiti adalah berdasarkan jumlah pelajar yang memperoleh ijazah dalam masa yang ditetapkan dan mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas bergraduat. Keselarasan pelajar dengan bidang pengajian menggunakan MUnSyI membantu merealisasikan hasrat universiti memperoleh ranking yang terbaik.
  6. Instrumen MUnSyI ini seiring dengan Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK) yang sedang dalam proses pelaksanaan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.